Friday, November 9, 2012

MCA tidak benci Islam, hanya kritik Pas - Tee Yong


LABIS 26 Okt. - Orang Melayu diminta tidak terpengaruh dengan fitnah pembangkang kononnya MCA adalah sebuah parti yang anti-Islam dalam usaha mereka memecah-belahkan perpaduan rakyat di negara ini.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong (gambar) berkata, MCA hanya mengkritik kepemimpinan Pas yang sering memutar belit keadaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada sesuatu isu yang melibatkan parti itu.

"Dakwaan kononnya MCA mengkritik Islam adalah satu pembohongan dan tuduhan serius yang boleh menggugat perpaduan negara ini.

"Sebenarnya MCA hanya mempersoalkan dakwaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah berkata punca kejadian rogol adalah disebabkan ramai wanita yang tidak menutup aurat bukannya mengkritik Islam," katanya ketika melawat beberapa pusat agihan daging korban di Parlimen Labis di sini hari ini.

Tee Yong turut menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada tiga warga emas yang uzur serta peruntukan sejumlah RM30,000 bagi menaik taraf pusat penyembelihan di Felda Chempelak yang digunakan penduduk dalam kerja penyembelihan dan pengagihan daging korban pada setiap kali sambutan Aidiladha.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Labis menegaskan, MCA yang mewakili kaum Cina tetap berpegang pada prinsip kerjasama dan saling menghormati budaya serta agama kaum lain di negara ini.

Tee Yong berkata, tindakan Pas menabur fitnah itu hanya mencerminkan rasa cemburu mereka terhadap kerjasama erat antara komponen Barisan Nasional (BN) kerana pakatan pembangkang sememangnya tidak sehaluan dalam banyak hal.

No comments:

Post a Comment