Saturday, July 16, 2011

PERATURAN 3P MUNGKIN DIMUKTAMAD HUJUNG 2013 - CHUA TEE YONG

16 July 2011 Bernama

KUALA LUMPUR-- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasar untuk memuktamadkan peraturan 3P iaitu penggredan, pembungkusan dan pelabelan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjelang hujung 2013.

Timbalan Menterinya, Chua Tee Yong berkata buat permulaan, peringkat pertama iaitu penguatkuasaan penanda tag label sedang dijalankan bermula Julai sehingga Disember ini, sebelum disambung dengan peringkat kedua membabitkan pembungkusan dan penggredan dari Januari hingga Jun 2012.

"Penguatkuasaan program ini dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung tahun depan bagi Semenanjung Malaysia. Setakat ini, hanya 60 peratus pasar raya (di seluruh negara), 30 peratus petani serta 10 peratus pemborong yang menyertai program ini.

"Bagi Sabah dan Sarawak, program ini hanya akan dikuatkuasakan setahun

selepas ia dilaksanakan sepenuhnya di Semenanjung," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan peraturan itu di Jaya Jusco Taman Maluri hari ini.

Peraturan 3P diwartakan pada 18 Ogos 2008, namun hanya berkuat kuasa awal bulan ini bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pemasaran keluaran pertanian tempatan agar terus berdaya saing, selain berupaya mengekalkan pasaran sedia ada, atau meluaskan akses pasaran di dalam dan luar negara sejajar perubahan perdagangan dunia.

Pengeksport, pengimport, pemborong serta peruncit merupakan orang yang diwajibkan mematuhi peraturan berkenaan, manakala komoditi adalah sayur-sayuran,buah-buahan, bunga, kekacang, kelapa, bijirin dan tebu.

Chua berkata bagi memastikan peraturan itu berjaya dimuktamadkan menjelang penghujung 2013, pihaknya akan berbincang dengan semua pihak yang terlibat dalam masa terdekat bagi memastikan mereka komited mematuhi peraturan tersebut.

"Kalau mereka ada masalah untuk mematuhi peraturan ini, kita akan cuba berbincang dengan mereka apa masalah yang mereka hadapi," katanya.

No comments:

Post a Comment