LABIS 26 Okt. - Orang Melayu diminta tidak
terpengaruh dengan fitnah pembangkang kononnya MCA adalah sebuah parti yang
anti-Islam dalam usaha mereka memecah-belahkan perpaduan rakyat di negara ini.
Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee
Yong (gambar) berkata, MCA hanya mengkritik kepemimpinan Pas yang sering
memutar belit keadaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada sesuatu isu
yang melibatkan parti itu.
"Dakwaan kononnya MCA mengkritik Islam
adalah satu pembohongan dan tuduhan serius yang boleh menggugat perpaduan
negara ini.
"Sebenarnya MCA hanya mempersoalkan dakwaan
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah berkata punca
kejadian rogol adalah disebabkan ramai wanita yang tidak menutup aurat bukannya
mengkritik Islam," katanya ketika melawat beberapa pusat agihan daging
korban di Parlimen Labis di sini hari ini.
Tee Yong turut menyampaikan sumbangan kerusi
roda kepada tiga warga emas yang uzur serta peruntukan sejumlah RM30,000 bagi
menaik taraf pusat penyembelihan di Felda Chempelak yang digunakan penduduk
dalam kerja penyembelihan dan pengagihan daging korban pada setiap kali
sambutan Aidiladha.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Labis menegaskan,
MCA yang mewakili kaum Cina tetap berpegang pada prinsip kerjasama dan saling
menghormati budaya serta agama kaum lain di negara ini.
Tee Yong berkata, tindakan Pas menabur fitnah
itu hanya mencerminkan rasa cemburu mereka terhadap kerjasama erat antara
komponen Barisan Nasional (BN) kerana pakatan pembangkang sememangnya tidak
sehaluan dalam banyak hal.
No comments:
Post a Comment