ARKIB : 30/04/2012
LABIS 29 April - Peneroka Felda di daerah ini dinasihati berbelanja secara berhemah dan membuat pelaburan bijak apabila menerima durian runtuh daripada Felda sebaik ia diumumkan pada bulan depan.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, golongan peneroka harus berpandangan jauh dan memikirkan nasib generasi akan datang walaupun Felda telah banyak meningkatkan taraf hidup mereka sehingga menikmati kehidupan yang mewah.
"Hari ini golongan peneroka Felda sudah mengalami perubahan yang besar dalam perolehan pendapatan mereka dan ia harus dimanfaatkan untuk golongan generasi kedua Felda dengan membuat pelaburan dan simpanan yang bijak serta mampu memberikan pulangan lumayan.
"Tidak dinafikan banyak pihak cuba menangguk di air keruh sewaktu peneroka Felda mendapat durian runtuh dengan pelbagai cara, oleh itu peneroka harus sentiasa bijak memilih untuk melaburkan wang mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis Maulidul Rasul dan Jasa Mu Dikenang di Felda Chempelak di sini semalam, yang turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada beberapa peneroka yang menyumbang kepada kemajuan masyarakat setempat.
Menurut Tee Yong, golongan peneroka kini bertuah kerana langkah kerajaan mewujudkan Felda memberi peluang kepada mereka memiliki tanah yang dapat diusahakan bagi menjana pendapatan dalam meningkatkan taraf hidup.
Oleh itu, katanya, Felda seharusnya diberi peluang membuktikan kemajuan yang lebih besar melalui penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia tidak lama lagi dan adalah tidak adil untuk menentangnya hanya kerana percaya dengan dakwaan sesetengah pihak yang mahu menggagalkannya demi kepentingan sendiri.
"Tentunya Felda yang mempunyai pengalaman yang luas telah membuat pelbagai kajian dan pertimbangan wajar sebelum keputusan sesuatu diambil,dan peneroka harus yakin dengan pentadbiran Felda yang telah terbukti berjaya membela nasib golongan peneroka sejak dahulu lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment